• 2025-06-28 08:55 PM
AFPAFP

GEORGE TOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang4Palestine mengutuk penemuan pil opioid Oxycodone dalam bungkusan tepung yang diagihkan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah pusat bantuan yang dikaitkan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS)-Israel.

Pengerusi Penang4Palestine M.S Anuar Mahmod berkata pihaknya bimbang dengan situasi itu dan sekurang-kurangnya empat penerima melaporkan penemuan yang mengejutkan tersebut.

“Seorang ahli farmasi tempatan dari Gaza menyifatkan ia sebagai ‘bentuk paling keji bagi pembunuhan beramai-ramai’ manakala seorang doktor tempatan menegaskan ia digunakan sebagai ‘alat untuk menghancurkan kesedaran masyarakat kami’.

“Penemuan itu sangat membimbangkan kerana Oxycodone adalah ubatan penahan sakit yang kuat dan sangat ketagihan, boleh menyebabkan gejala halusinasi dan masalah pernafasan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia jelas menunjukkan satu penyalahgunaan bantuan kemanusiaan dan satu perangkap maut melalui pencampuran bahan terlarang ke dalam makanan harian yang asas.

Anuar berkata Penang4Palestine menuntut siasatan antarbangsa segera oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi global terhadap GHF serta mana-mana pihak yang terlibat.

Selain itu, beliau berkata pihaknya mengesa penghentian serta-merta sebarang bentuk penyusupan dadah ke dalam bantuan kemanusiaan dan tanggungjawab moral serta undang-undang dikenakan ke atas pihak yang terlibat dalam konspirasi ini.

“Penambahbaikan mekanisme semakan dan kawalan kualiti terhadap semua saluran bantuan yang masuk ke Gaza dan membuka pintu untuk bantuan antarbangsa serta tidak tertumpu kepada bantuan kemanusian oleh agensi yang ditetapkan oleh AS-Israel sahaja,“ katanya.

Beliau berkata Penang4Palestine menegaskan bahawa apabila bantuan ditawarkan ia haruslah menyelamatkan dan bukan menjatuhkan, dan menggunakan keperluan asas untuk merosakkan rakyat Palestin adalah jenayah terhadap kemanusiaan.

“Kami menyeru komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan bermaruah, memastikan bantuan kemanusiaan sentiasa tulen dan tidak menjadi alat penindasan psikologi atau fizikal,“ katanya.

Terdahulu media melaporkan pihak berkuasa Gaza menggesa siasatan antarabangsa selepas penemuan pil opioid jenis Oxycodone dalam bungkusan tepung yang diagihkan oleh pusat bantuan dikendalikan oleh organisasi AS-Israel, Gaza Humanitarian Foundation (GHF).

Menurut kenyataan pejabat media kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya empat penduduk melaporkan menemui pil tersebut dalam bungkusan bantuan makanan dan beberapa saksi mendakwa bahan narkotik itu mungkin telah dihancurkan atau dicampur terus ke dalam tepung.