KULIM: Penduduk Kampung Ulu Dingin dekat sini, resah dengan kehadiran harimau yang menyerang ternakan mereka, dengan kejadian terbaharu didakwa berlaku Khamis lepas.

Penternak lembu Muhammad Khairul Azlan Che Hamid, 37, mendakwa serangan itu menyebabkan seekor lembu betina bunting miliknya mati, dan kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini.

“Secara keseluruhannya, tujuh ekor ternakan menjadi mangsa serangan harimau iaitu dua pada 2023 dan empat tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu hari ini.

Muhammad Khairul Azlan berkata beliau menternak kira-kira 70 ekor lembu dalam kawasan berpagar, namun disebabkan ada pagar yang rosak dan sedang dibaiki, beberapa ternakannya berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Selain itu beliau juga bimbang dengan keselamatan keluarganya kerana rumah didiami bersama isteri dan dua anak serta kawasan ternakan, terletak agak jauh daripada jiran.

Sementara itu Penghulu Mukim Mahang Mohd Naim Zamhuri Zainul Abidin berkata belaiu menerima tiga aduan berkaitan serangan harimau daripada penduduk kampung setakat ini.

Beliau berkata aduan itu dimajukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dan pihak terbabit telah memasang dua perangkap menggunakan umpan kambing di kawasan Kampung Ulu Dingin dan Kampung Ulu Mahang.

“Kawasan kampung berlaku serangan harimau itu didiami kira-kira 10 keluarga dengan jarak rumah agak jauh antara satu sama lain,” katanya.