• 2025-07-24 08:59 PM

KUCHING: Penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak, Indonesia, disambung semula oleh AirAsia, dijangka memberi lonjakan kepada ekonomi rentas sempadan, pelancongan, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata pemulihan laluan ini menandakan kejayaan besar dalam menghubungkan semula Sarawak dan Kalimantan Barat selepas terhenti beberapa tahun akibat pandemik COVID-19.

“Ia membuka ruang kepada usahawan tempatan, agensi pelancongan, pengusaha pengangkutan, dan komuniti sempadan yang bergantung kepada pergerakan barang dan manusia antara kedua-dua wilayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, laluan ini turut mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Pontianak yang memerlukan akses ke perkhidmatan, pelancongan, dan perniagaan di Sarawak.

Semakan melalui aplikasi AirAsia MOVE menunjukkan penerbangan terus Kuching-Pontianak akan bermula semula pada 12 September ini, susulan pemulihan status antarabangsa Lapangan Terbang Supadio di Kalimantan Barat.

Lee turut menyatakan minat kerajaan negeri untuk meneroka laluan baharu ke seluruh wilayah Kalimantan, selaras dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.

“Kita terbuka untuk menambah kekerapan penerbangan dan membuka laluan ke bahagian lain di Kalimantan. Pembangunan Nusantara membuka peluang baharu untuk integrasi ekonomi dan kerjasama pengangkutan,” jelasnya. – Bernama