• 2025-08-01 02:24 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol bekas kakak iparnya, dua tahun lepas.

Lelaki berusia 31 tahun itu didakwa merogol wanita berumur 31 tahun di sebuah unit apartmen, Bandar Bukit Jalil di Cheras pada 3.30 pagi, 22 Jan 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

“Namun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan jaminan tinggi, iaitu RM30,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah tiada penjamin hadir pada prosiding hari ini.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan kes- BERNAMA