Your Title

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menyelesaikan tujuh kes penipuan di beberapa negeri termasuk menyamar sebagai pihak berkuasa bagi membebaskan tahanan dari lokap dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan, awal bulan lepas.

Suspek yang ditangkap pada 1 Jan juga didakwa terlibat dengan penipuan tawaran lelongan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kastam yang tidak wujud serta menipu dalam urusan pajak gadai, perniagaan durian dan tipu berjanji untuk berkahwin.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penganggur berusia 31 tahun itu telah didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Klang dan Mahkamah Gombak, masing-masing pada 16, 17 dan 24 Jan.

Beliau berkata suspek yang didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 telah mengaku bersalah serta membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

“Pada 24 Jan, suspek sekali lagi didakwa di Mahkamah Klang dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 420 kanun sama dan kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kuala Kubu Baharu,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Hussein berkata lelaki itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok, juga di bawah Seksyen 420 kanun sama selain turut terlibat dengan masing-masing satu kes penipuan di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.

Beliau berkata modus operandi suspek adalah berjumpa secara bersemuka sebelum meminta mangsa memasukkan wang ke akaun peribadi miliknya.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan penipuan yang menawarkan urusan jual beli secara bersemuka atau dalam talian dan membuat semakan serta pengesahan kewujudan tawaran dengan agensi berkaitan.