KUALA LUMPUR: Sejak kecil, Normaliati Ali yang berketurunan Orang Asli suku Jakun dari Rompin, Pahang, memasang impian untuk mengenakan busana pengantin tradisional diperbuat daripada kulit pokok terap dan pudu warisan budaya nenek moyang, pada hari bahagianya.
Impiannya menjadi kenyataan baru-baru ini apabila dia dan pasangannya Fildzuan Jefry memilih untuk menghidupkan kembali adat dan tradisi suku Jakun yang kian dilupakan itu pada hari perkahwinan mereka.
Menurut pensyarah berusia 29 tahun itu, busana tradisional tersebut bukan sekadar pakaian, tetapi lambang identiti yang sarat dengan sejarah dan nilai budaya kaum Jakun.
Selain sukar diperoleh, kewujudan busana unik warisan budaya kaumnya itu juga tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat negara ini.
“Pernah satu ketika saya mengenakan pakaian ini di sebuah acara, dan orang luar sangat teruja melihat penampilan saya. Jadi, saya berhasrat memakai busana tradisional ini semasa majlis perkahwinan saya, bukan sahaja untuk mempertahankan warisan, tetapi juga memperkenalkan budaya kami kepada tetamu yang belum pernah melihatnya sebelum ini.
“Sebelum ini, saya juga pernah memakai busana daripada kulit kayu ini pada acara-acara tertentu seperti sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Normaliati berkata busana itu disiapkan secara tradisional oleh seorang wanita berusia di kampungnya yang mencari kulit kayu terap di hutan sebelum dibersihkan dan direndam berulang kali bagi melembutkan bahan berkenaan untuk dijadikan pakaian.
“Mak cik yang hasilkan baju ini bernama Lisa Samad, berusia 70 tahun dan masih menghasilkan pakaian ini bagi memulihara warisan. Dia ambil masa sebulan untuk jahit busana ini.
“Walaupun agak berat dan keras, baju ini masih selesa dipakai, mungkin kerana telah direndam berulang kali,” katanya yang memadankan busana tersebut dengan bunga tangan dan cucuk sanggul hasil anyaman komunitinya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris itu juga memilih untuk menggayakan material unik tersebut dalam rekaan busana kebaya, sebagai penghormatan kepada budaya Malaysia yang menjunjung tinggi nilai kesopanan dan kesederhanaan dalam berpakaian.
Sepertimana tradisi suku Jakun, majlis perkahwinannya berlangsung selama dua hari dan sarat dengan adat resam komuniti Orang Asli tersebut termasuk adat meminang dan mandi sungai oleh pengantin lelaki, diikuti upacara bersanding yang dilangsungkan mengikut adat Jakun.
Majlis turut diwarnai dengan persembahan tarian sewang yang merupakan tradisi Orang Asli ketika menyambut ketibaan rombongan pengantin lelaki.
“Ramai orang Malaysia sendiri tidak tahu bagaimana adat Orang Asli, termasuk adat perkahwinan kami. Jadi, saya harap dengan cara ini, budaya kami boleh dikenali dan dihargai lebih ramai,” katanya yang tidak menyangka majlis itu turut mendapat perhatian netizen selepas tular di media sosial.
Sementara itu, perancang majlis perkahwinan Hanizan Bakar yang teruja berpeluang mengendalikan walimatulurus tersebut, berkongsi detik indah berkenaan di media sosial dan menyifatkan pengalamannya sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Pada mulanya saya risau baju yang ditempah tidak siap tepat pada masa, kerana bahan yang digunakan semakin sukar didapati. Tambahan pula nenek yang menghasilkan pakaian ini sudah berusia dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal untuk menyiapkan busana yang begitu unik,“ katanya yang memiliki pengalaman 15 tahun dalam bidang perancangan majlis perkahwinan.
Pemilik butik Asha Wedding itu juga berharap pendedahan sedemikian dapat meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap kepelbagaian warisan budaya di Malaysia.