SINGAPURA: Seorang pengemudi bot warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara empat bulan enam minggu dan tiga sebatan oleh mahkamah daerah di sini selepas ditahan bulan lepas kerana memasuki perairan Singapura secara haram, menurut laporan media tempatan.

Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan Muhammad Rasidi A. Razak, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan memasuki Singapura secara haram dan satu lagi pertuduhan mengemudi bot secara melulu sehingga membahayakan nyawa.

Satu lagi pertuduhan iaitu gagal memberhentikan bot selepas diarahkan pihak polis telah diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Dalam kejadian pada 18 April lepas, Muhammad Rasidi membawa dua penumpang -- juga rakyat Malaysia -- untuk memancing dari jeti di Sungai Melayu, Johor, sebelum menuju ke kawasan laut berhampiran Puteri Harbour.

Beliau kemudiannya membawa botnya memasuki perairan berhampiran Pulau Sarimbun, tempat bot itu dikesan oleh anggota Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) yang sedang membuat rondaan.

Tertuduh cuba melarikan diri ke arah Malaysia, menyebabkan anggota PCG mengejarnya.

Semasa pengejaran, bot Muhammad Rasidi berlanggar dengan kapal PCG sebanyak dua kali. Beliau hanya berhenti selepas anggota PCG mengeluarkan pistol dan memberi amaran supaya menghentikan bot dan mematikan enjin.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada dua penumpang terbabit telah didakwa atas sebarang kesalahan, menurut laporan ST.