• 2025-06-26 03:11 PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, meninggal dunia pada jam 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Pegawai khas Allahyarham, Firhan Rosli, mengesahkan berita tersebut dalam satu kenyataan hari ini. Beliau menyatakan pemergian Muhammad Nur, 76, merupakan kehilangan besar kepada umat Islam dan negara, terutamanya dalam bidang dakwah, keilmuan, dan pemikiran Islam.

“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa-dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman,“ kata Firhan.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi selepas solat Asar dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

Muhammad Nur dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023. Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Pada 18 Januari lepas, beliau menerima penghormatan tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas sumbangan besarnya dalam kepimpinan dan perubahan kepada persatuan tersebut.