MELAKA: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini, atas empat pertuduhan merompak empat wanita di sekitar Melaka Tengah pada Februari dan April.

Ahmad Reezqan Jaliludin, 31, didakwa telah melakukan rompakan ke atas harta milik seorang warga asing Nila Afrila dan melarikan beg tangan yang mengandungi sebuah telefon bimbit serta barangan lain yang dianggarkan bernilai RM2,500.

Kesalahan itu dilakukan di lorong Jalan Rumah Pangsa Bachang Permai, Melaka Tengah, sekitar pukul 9.15 malam pada 23 Feb.

Lelaki itu juga didakwa merompak tiga wanita lain iaitu Nohayati Hussin, 27 di kaki lima pasar raya Kipmall pada 22 April, serta Tiow Poh Mee, 49, dan Maureen Chan Choo Neo, 70, di kawasan parkir Lotus Peringgit sehari selepas itu, sekitar 12.30 tengah hari dan 4.17 petang.

Pendakwaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Sementara peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar satu nilai jaminan yang rendah serta dibenarkan dua orang penjamin, dengan alasan anak guamnya akan dijamin oleh kakaknya yang bekerja sebagai kerani yang hanya berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan, manakala isteri tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Hakim Haderiah Siri kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin dan membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang dipercayai melakukan jenayah ragut dengan menyamar sebagai penghantar makanan, berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam termasuk beberapa pekerja penghantar makanan Food Panda di Malim, pada April lepas.