JOHOR BAHRU: Seorang pengurus akaun syarikat swasta berputih mata apabila ‘hilang’ RM444,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda menerusi satu aplikasi yang diberikan kepadanya Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mengikut laporan lelaki berumur 53 tahun itu semalam, dia telah dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai perunding pelaburan saham awal Julai lepas, yang mengajaknya untuk melabur ke dalam pasaran saham berkenaan.

Beliau berkata pengurus akaun itu kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai berkaitan pelaburan saham, dan pada penghujung Okt, dia mula membuat pelaburan melalui aplikasi berkenaan dan memindahkan RM444,000 ke dalam tujuh akaun berbeza.

“Dalam tempoh kurang dari sebulan iaitu antara 31 Okt dan 22 Nov, 16 transaksi dibuat untuk pelaburan berkenaan. Selepas membuat pelaburan, pengurus itu mendapati akaunnya menunjukkan keuntungan yang sangat tinggi hingga mencecah RM3,163,460.43,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun apabila dia ingin mengeluarkan keuntungan itu, dia diminta untuk membuat bayaran komisen 10 peratus atau RM289,000.

Apabila gagal mengeluarkan wang tersebut selain turut diberi amaran oleh ahli kumpulan whatsapp untuk menutup pelaburan berkenaan, Raub berkata lelaki itu kemudiannya membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu bagi pelaburan yang tidak wujud, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan,” katanya.