• 2025-07-15 01:28 PM

KUANTAN: Seorang pengurus hotel di sini mengalami kerugian besar berjumlah RM211,000 selepas diperdaya skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud. Kejadian itu berlaku bulan lepas selepas mangsa, lelaki berusia 49 tahun, tertarik dengan iklan pelaburan menjanjikan pulangan tinggi di Facebook.

Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, mangsa kemudian berhubung dengan seorang wanita melalui WhatsApp dan diberikan pautan untuk menyertai pelaburan tersebut. Dalam tempoh seminggu, antara 4 hingga 11 Jun, mangsa melakukan enam transaksi ke dua akaun berbeza menggunakan wang simpanannya.

“Bagaimanapun, mangsa mula sedar ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan tanpa menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,“ jelas Yahaya dalam kenyataan hari ini. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama