the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, June 26, 2026
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pengurusan tertinggi GISBH antara 16 individu ditahan semula bawah SOSMA

KUALA LUMPUR: Seramai 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama hari ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini 58 individu telah ditahan di bawah akta berkenaan sejak Op Global dilaksanakan September lepas.

Beliau berkata dalam tempoh kira-kira sebulan operasi itu dilaksanakan, polis telah menahan 415 orang, dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan.

“Daripada jumlah itu, 553 mangsa ditempatkan di 13 pusat perlindungan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala 72 diserahkan kepada ahli keluarga mereka,“ katanya pada sidang media Op Global di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata proses mengambil semula semua kanak-kanak itu dilaksanakan dengan teliti dan pemantauan ketat oleh JKM.

Beliau berkata 273 orang daripada 415 orang yang ditahan telah dijamin, 37 dibebaskan tanpa syarat, 35 masih dalam tahanan, dua diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, dan seorang diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran.

Mohd Shuhaily berkata 97 kertas siasatan dibuka, melibatkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Daripada jumlah itu sembilan individu telah dituduh dengan 34 pertuduhan iaitu 20 pertuduhan yang melibatkan Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata empat kertas siasatan melibatkan dua individu di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, masing-masing satu kertas siasatan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 5(1) Akta Pusat Jagaan 1993 telah diberikan arahan tuduh oleh Jabatan Peguam Negara, dan mereka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

“Siasatan polis masih diteruskan dan tangkapan ini dibuat hasil soal siasat. Selagi siasatan masih menunjukkan ada saki baki (pengikut GISBH) dan memberi ancaman kepada keselamatan negara, kami akan teruskan (siasatan),“ katanya.

Berhubung serbuan ke pusat indoktrinasi yang dikendalikan GISBH, beliau berkata serbuan ke beberapa pusat itu sudah dilakukan dalam siasatan Op Global fasa keempat, namun semua pusat berkenaan didapati telah ditutup.

“Kita akan beri maklumat berapa pusat yang terlibat. Tidak ada mangsa yang boleh ceritakan mereka telah diindoktrinasikan di tempat-tempat berkenaan setakat ini,” katanya.

Mohd Shuhaily turut menasihatkan bekas ahli atau pengikut GISBH untuk tampil memberikan maklumat dan membantu siasatan.

Beliau berkata gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain agar bekas ahli dan pengikut GISBH memberikan maklumat berhubung gerakan organisasi itu telah menunjukkan respons positif, apabila ada pihak yang tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Paddles up! Hong Kong marks 50 Years of international dragon boat thrills

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire – 25 June 2026 – With top teams from around the world gearing up for the hotly contested Hong Kong International Dragon Boat Races this weekend (June 27-28), participants and spectators can expect a bumper programme of action, fun and entertainment along the Victoria Harbour waterfront in Tsim Sha Tsui – one of the city's most vibrant districts known for its iconic skyline views and tourist attractions.

“Japan Creator Support Fund Progress Report Meeting” highlights international success of Japan’s next generation...

The Fund is beginning to generate tangible international outcomes, including awards, nominations and co-productions across music, film, games and the arts, while expanding opportunities for overseas performances, international events and cross-border collaborations.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings