• 2025-09-30 04:33 PM

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang menahan lima lelaki terdiri daripada pengusaha kebun Musang King dan pekerja kilang durian kerana disyaki meraih hasil haram ratusan ribu ringgit.

Mereka disyaki menanam durian di Hutan Simpan serta tanah kerajaan negeri di sebuah daerah di Pahang.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan antara 12 tengah hari hingga 3 petang semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.

Mereka dipercayai mengusahakan kebun tanaman durian serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.

Aktiviti haram tersebut melibatkan memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada hasil tanaman pokok durian.

Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut secara berasingan pada 2024 hingga tahun ini.

Mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram berkenaan hingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Empat daripada suspek merupakan pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun-temurun.

Mereka juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan oleh pihak berkuasa.

Kesemua suspek kini direman empat hari hingga 3 Oktober selepas perintah reman dikeluarkan oleh majistret.

Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Mohd Shukor tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Susulan Op Sekat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bermula 25 April 2024, SPRM Pahang telah menjalankan operasi secara bersepadu.

Operasi bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dilaksanakan bermula 2 hingga 19 September lepas.

Usaha tersebut bertujuan mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal. – Bernama