KUANTAN: Seorang peniaga kerugian RM185,310 akibat menjadi mangsa sindiket penipuan skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 48 tahun itu berminat menyertai pelaburan ‘First Gold VIP’ melalui Instagram pada 1 Ogos selepas dijanjikan keuntungan enam peratus dalam mata wang dolar AS bagi setiap pelaburan RM5,000.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan itu melalui pautan diberikan suspek dan dalam tempoh 21 Ogos hingga 9 Okt, wanita berkenaan memindahkan RM275,000 ke tujuh akaun bank berbeza.

“Mangsa mendapat pulangan RM89,690 secara berperingkat mulai 29 Ogos hingga 12 Okt dan cuba mengeluarkan baki wang dilaburkan, bagaimanapun gagal dilaksanakan.

“Wanita itu mula curiga selepas berurusan dengan khidmat pelanggan aplikasi berkenaan yang menyuruhnya menambah pelaburan bagi membolehkan hasil dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan serta pinjaman kenalan dan sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah percaya kepada pelaburan yang menawarkan keuntungan lumayan dalam masa singkat.