KLUANG: Seorang peniaga yang juga pengarah syarikat perkakasan mengalami kerugian besar mencecah RM829,705 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.
Kes ini dilaporkan di Balai Polis Kluang selepas mangsa sedar dirinya menjadi mangsa penipuan.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh, berkata mangsa, lelaki tempatan berusia 56 tahun, mula-mula terjumpa iklan pelaburan berkenaan di media sosial pada Mac lalu.
Iklan tersebut menjanjikan pulangan keuntungan tinggi, menarik minat mangsa untuk menyertai.
Mangsa kemudian berhubung dengan ejen pelaburan dan diminta memuat turun aplikasi khas.
Antara 5 Jun hingga 9 Julai, mangsa melakukan beberapa pembayaran ke lima akaun bank berbeza, berjumlah RM829,705.
Aplikasi tersebut memaparkan keuntungan palsu sebanyak RM4,669,065.25.
“Bagaimanapun, mangsa diberitahu perlu membuat bayaran tambahan sebelum boleh mengeluarkan keuntungan tersebut. Apabila menyedari penipuan, beliau segera membuat laporan polis,“ kata Bahrin.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa. – Bernama