• 2025-06-25 03:14 PM

PUTRAJAYA: Penjawat awam wanita bukan hanya pelengkap sesebuah organisasi malah memiliki kemampuan untuk menerajui jabatan, memikir dasar negara dan mampu mendidik generasi akan datang.

Ketua Setiuasaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2023, pekerja wanita dalam sektor awam mencapai jumlah 765,616 orang atau 59.3 peratus berbanding penjawat awam lelaki.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,628 orang atau 38.9 peratus memegang jawatan di peringkat Pengurusan Tertinggi iaitu Jusa C ke atas.

“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Ini selaras dengan penanda aras ketujuh sasaran ekonomi MADANI iaitu kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus menjelang 2033,” katanya.

Shamsul Azri berkata demikian pada Majlis Penutupan Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) ke-43 yang dirasmikan Penaungnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Penasihat Puspanita berkata wanita turut memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan dan pemimpin berwibawa.

“Maka tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa memperkasakan wanita hari ini bukan sahaja untuk meneruskan legasi kepimpinan yang telah lama wujud, malah wanita kini memikul tanggungjawab untuk memperluas ruang dan memperkukuh peluang,” katanya.

Shamsul Azri berharap Puspanita dapat menjajarkan dan mengarusperdanakan hala tuju baharunya dalam membangunkan Pelan Strategik Puspanita 2026-2030 seiring dengan kesemua agenda nasional yang telah ditetapkan kerajaan.

“Satu aspek penting yang wajar untuk terus diberikan penekanan oleh Puspanita ialah program kebajikan dan kesukarelawan.

“Mengambil contoh peristiwa letupan di Putra Height, kehadiran Puspanita di lapangan menyantuni dan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan adalah sangat bermakna buat mereka,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Puan Sri Maheran Jamil, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Abd Shukor Mahmood dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nasriah Darus.