KUALA LUMPUR: Seorang penjual makanan kesihatan dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik berhubung siasatan pihak berkuasa terhadap GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menerusi aplikasi YouTube miliknya, tahun lepas.

Norizan Yahaya, 62, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi YouTube “Zam Yahaya Official” antara 2 hingga 6 petang, 15 Sept 2024.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di Wangsa Maju di sini pada 8 malam, 16 Sept tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Asiah Abd Jalil memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan isteri yang tidak bekerja selain tiada risiko untuk melarikan diri.

“Anak guam (Norizan) saya bekerja sebagai penjual makanan kesihatan dalam talian dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan. Dia juga mempunyai lima anak dengan dua daripadanya masih belajar di universiti,” katanya.

Hakim Norma Ismail membenarkan OKS diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 11 Julai ini.