PUTRAJAYA: Pentadbir sekolah menengah di Petaling Jaya yang terbabit dalam kes kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah sehingga siasatan selesai.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata Kementerian Pendidikan akan memastikan pemindahan itu berjalan lancar tanpa mengganggu proses pembelajaran.
“Memang kita akan ambil tindakan secepat mungkin sebab siasatan perlu dilaksanakan dengan segera,” katanya.
KPM telah menggerakkan pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling ke sekolah berkenaan bagi melaksanakan program intervensi sokongan psikososial.
“Kita dah gerakkan pasukan kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling. Jadi ibu bapa atau masyarakat tak perlu bimbang, KPM telah mengambil tindakan ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah.
Suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan. – Bernama