SHAH ALAM: Penubuhan Kementerian Digital menjadi satu cabaran kerana ia sesuatu yang baharu, namun semua gerak kerja berjalan dengan baik sejak kementerian itu diwujudkan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Mengimbau kembali ketika diminta untuk ‘pulang’ ke dalam Kabinet bagi mentadbir kementerian itu susulan rombakan Kabinet pada Disember 2023, Gobind yang juga Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan berkata ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu bermula dari asas.
“Apabila (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya mempertimbangkan mewujudkan satu kementerian baharu, ia satu cabaran untuk kita.
“Pada masa itu Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) ada bincang perkara ini dan kita perlu melakukannya. Jadi kita mulakan. Kita memulakan satu kementerian yang baharu. Bukan senang, kerana kita perlu bermula dari asas,” katanya.
Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata demikian dalam ucapan alu-aluan pada Konvensyen DAP Selangor 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Loke yang juga Menteri Pengangkutan, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor selaku Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Parti Amanah Negara Selangor Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abdul Aziz.
Gobind berkata ketika ini Kementerian Digital dilihat dapat melaksanakan gerak kerja dengan baik selepas 10 bulan penubuhannya.
Menurut laman web rasmi Kementerian Digital, kementerian itu ditubuhkan secara rasmi pada 12 Dis 2023 bagi menerajui usaha transformasi digital negara.
Kementerian itu dibentuk daripada kementerian sedia ada, iaitu Kementerian Komunikasi dan Digital dengan penjajaran semula fungsi digital bagi membolehkan pelaksanaan yang lebih berfokus, holistik dan berkesan.
Fungsi pendigitalan dalam konteks sektor awam sebelum ini yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) turut diperkasakan melalui penstrukturan semulanya sebagai Jabatan Digital Negara (JDN), iaitu sebuah jabatan di bawah Kementerian Digital.