• 2025-06-29 09:47 AM

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) KM254.6 arah Utara semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa, lelaki berusia 51 tahun, dilanggar oleh sebuah treler selepas terjatuh dari motosikalnya.

“Siasatan awal mendapati kemalangan bermula apabila sebuah kereta Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun membrek secara mengejut di lorong kecemasan.

Motosikal BMW yang ditunggangi mangsa terlanggar bahagian belakang kereta tersebut sebelum terjatuh ke lorong kanan dan digilis treler,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Turut terlibat dalam kejadian itu ialah sebuah motosikal lain yang tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang kereta Ford Ranger.

Pemandu dan penumpang kereta, penunggang motosikal kedua, serta pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohamad Hatta meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat, Insp Tiew Chuan Jie, di talian 014-9668399 atau ke balai polis terdekat.