Your Title

BUKIT MERTAJAM: Tindakan seorang penunggang motosikal yang mengamuk sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pihak berkuasa membawa padah, apabila lelaki itu ditahan polis ketika Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi.

Lelaki berusia 50 tahun itu yang menunggang bersama teman wanitanya seorang warga Indonesia, pada mulanya disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada insurans.

Berikutan kesalahan itu, anggota penguat kuasa memaklum motosikalnya akan disita menyebabkan dia tiba-tiba naik angin hingga berlaku kekecohan.

Keadaan semakin tegang apabila lelaki tersebut mula melakukan provokasi dan cuba bertindak agresif terhadap anggota JPJ dan polis traifik, sambil memaki hamun dengan kata-kata kesat.

Meskipun cuba ditenangkan oleh anggota dan teman wanitanya, namun lelaki itu tetap melakukan provokasi dan situasi tersebut berlarutan lebih setengah jam sebelum lelaki itu akhirnya ditahan polis serta dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata lelaki tersebut ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Penunggang motosikal tersebut telah gagal untuk memberi kerjasama kepada penguat kuasa, justeru tindakan diambil ataupun dengan kata lain telah ditangkap oleh pihak polis kerana telah menghalang penjawat awam untuk menjalankan tugas.

“Bagi pihak JPJ, kita rasa sepatutnya orang awam perlu lebih faham mengenai tugas penguatkuasaan ini dan bukannya bertindak di luar batasan. Kita bukan hendak mencari salah atau ingin menghukum, cuma tindakan diambi adalah demi menjaga kepentingan bersama,” katanya.

Terdahulu dalam operasi bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam itu, sebanyak 1,083 kenderaan diperiksa dan 211 daripadanya diambil tindakan dengan 391 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Secara keseluruhan sejak pelaksanaan operasi bermula 20 Jan hingga 9 Feb, 31,122 buah kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 4,105 notis dikeluarkan terhadap pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan melibatkan penunggang motosikal, pemandu kenderaan dan juga lain-lain pengguna di jalan raya.