Your Title

KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal wanita maut akibat merempuh seekor lembu di kilometer 80 Jalan Gua Musang-Kota Bharu (Bukit Ah Kim), semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat dalam kenyataan berkata Norsyamimi Mayedin, 35, dalam perjalanan dari Rancangan Pemulihan Tanah Chuchoh Puteri menghala ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk ke tempat kerja ketika kejadian berlaku pada 7.24 pagi.

Beliau berkata apabila sampai di kilometer berkenaan, pekerja syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital Radicare Sdn Bhd itu telah melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.

Akibat pelanggaran wanita itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya merekodkan sebanyak 23 kes melibatkan haiwan peliharaan di Kuala Krai bagi tempoh awal Januari hingga semalam iaitu 20 kes melibatkan kerosakan kenderaan, dua kes melibatkan kecederaan serta satu kes maut iaitu insiden semalam.

Justeru katanya pengguna jalan raya dinasihatkan agar berwaspada ketika berada di sekitar kawasan Kuala Krai yang selalu merekodkan kemalangan melibatkan haiwan ternakan.

“Kawasan yang terlibat adalah di Telekong, Keroh, Batu Jong, Pahi, Bukit Ah Kim dan kawasan Laloh yang merupakan kawasan kemalangan melibatkan haiwan ternakan ini.

“Pemilik-pemilik lembu diminta agar memastikan haiwan peliharaan tidak dilepaskan sewenang-wenangnya dikhuatiri boleh mengancam nyawa pengguna-pengguna jalan raya yang lain,” katanya.