• 2025-07-25 02:02 PM

IPOH: Beberapa jalan raya utama di sekitar Ipoh akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada raptai dan sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 pada minggu hadapan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata raptai sambutan akan diadakan pada Selasa (29 Julai) dan Rabu (30 Julai) depan, bermula 7.30 pagi hingga 10 pagi. Jalan yang sama juga akan ditutup untuk sambutan rasmi pada Khamis (31 Julai) bermula 7.30 pagi dan dijangka ditutup selama satu jam.

“Penutupan jalan ini dilaksanakan bagi memberi laluan kepada istiadat rasmi melibatkan keberangkatan Duli-Duli Tuanku serta individu kenamaan (VVIP), bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sepanjang program berlangsung,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara jalan yang terlibat termasuk Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab (Medan Kid) yang akan dilencong ke Jalan St. John dan Jalan S.P. Senivasagam. Jalan S.P. Senivasagam pula akan dilencongkan ke arah Medan Kid, manakala Jalan Raja Musa Aziz ke Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Tun Abdul Razak ke Jalan Raja Musa Aziz turut terjejas.

“Jalan Sultan Iskandar dari arah bulatan MB (Menteri Besar) merupakan laluan pergerakan VVIP dan akan menggunakan hala bertentangan apabila memasuki Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,“ jelas Abang Zainal Abidin.

Beliau menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan anggota polis yang bertugas, dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan - Bernama