JOHOR BAHRU: Sebanyak 187 pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor digerakkan bagi memantau pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di negeri itu.

Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomo berkata pemeriksaan dijalankan di stesen minyak meliputi kawasan bandar dan luar bandar sebagai persediaan susulan perubahan harga bahan api itu bermula 5 petang hingga 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata tindakan itu bertujuan memastikan stesen minyak tidak melakukan penyelewengan bekalan barang kawalan termasuk menutup premis, kehabisan bekalan diesel, elemen pam rosak, jualan bersyarat dan enggan menjual atau menyorok bekalan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebuah stesen minyak disyaki menjual minyak diesel menggunakan bekas melebihi 20 liter tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata kes disiasat di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama-sama Peraturan 3 (1) PPKB 1974.

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Bagaimanapun, syarikat pengangkutan awam dan barangan yang telah memperoleh kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula hari ini bagi tujuan tuntutan pembayaran balik tunai, mengikut terma serta syarat yang akan diumumkan nanti.

“Manakala, bagi syarikat pengangkutan yang berkelayakan tetapi belum memohon kelulusan subsidi diesel, permohonan dengan kadar segera perlu dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpd.gov.my dan seterusnya memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.

Di bawah BUDI MADANI, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Pendaftaran bagi BUDI MADANI dibuka mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan BUDI MADANI yang pertama bermula hari ini.