• 2025-09-07 03:07 PM

KOTA BHARU: Penternak tempatan di negeri berhampiran sempadan Malaysia-Thailand termasuk Kelantan akan terjejas sekiranya penyeludupan haiwan ruminan terus berlaku.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kemasukan haiwan itu secara haram akan menggugat harga pasaran daging tempatan malah menimbulkan risiko penularan penyakit daripada haiwan yang tidak disaring oleh Jabatan Veterinar.

“Mengikut rekod, sebanyak 70,000 ekor lembu diseludup sepanjang tahun lalu,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seribong.

Beliau menegaskan rakyat boleh menerima harga daging antara RM25 hingga RM35 sekilogram secara umum tetapi penyeludupan menawarkan daging lebih murah yang memberi masalah kepada penternak tempatan.

Mohamad menggesa semua pihak terlibat bekerjasama untuk mengatasi masalah penyeludupan tersebut.

“Mungkin mereka yang membenarkan kemasukan haiwan ruminan secara haram ini akan memperoleh beberapa ribu ringgit tetapi kena ingat tindakan itu telah menganiaya negara,“ katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata kementeriannya kini dalam usaha meningkatkan pengeluaran daging berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan domestik serta mengurangkan kebergantungan import.

Berdasarkan data ternakan lembu baka hibrid, ternakan lembu wagyu sehingga Jun lalu berjaya merekodkan hasil sebanyak 481 ekor berbanding pencapaian tahun 2024 hanya sekitar 393 ekor.

Peningkatan ini menunjukkan permintaan yang semakin tinggi terhadap lembu wagyu tempatan.

Ketika ditanya mengenai isu pergolakan di Indonesia, Mohamad berkata perkara itu tidak memberikan kesan ketara kepada aktiviti import negara.

“Bekalan makanan dan keterjaminan (makanan) negara tidak terancam susulan pergolakan itu,“ katanya.

Beliau menambah Indonesia sudah biasa dengan pergolakan dan biasanya ia cepat kembali reda. – Bernama