SHAH ALAM: Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-8 kecoh apabila beberapa kumpulan mencetuskan provokasi mendesak Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Insiden itu berlaku ketika sesi ucapan dasar presiden apabila Muhyiddin menyentuh isu cubaan menjatuhkan kepimpinannya melalui cara mengumpul tandatangan.
Beliau menyatakan tindakan mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan Presiden adalah bercanggah dengan perlembagaan parti.
Muhyiddin menegaskan semua yang berada di atas pentas juga boleh dijatuhkan melalui cara yang sama jika presiden dijatuhkan dengan kaedah tersebut.
Ketua-Ketua Bahagian, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Srikandi Muda, Ketua Bersekutu dan semua Ahli Jawatankuasa Bahagian boleh ditimpa nasib yang sama.
Ucapan beliau disambut dengan jeritan “tidak benar” dipercayai bagi menafikan perkara itu diikuti laungan “turun Tan Sri”.
Kekecohan berlaku di antara perwakilan sebelum berjaya ditenteramkan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Pada sidang media selepas itu, Muhyiddin berkata beliau tidak tahu mengenai desakan tersebut dan ia akan disemak oleh pihak keselamatan.
Beliau menyatakan tidak terganggu dengan perkara yang berlaku dan menganggapnya sebagai perkara biasa.
Muhyiddin menekankan yang penting Bersatu masih bergerak sebagai parti politik dengan semangat yang tinggi secara keseluruhan. – Bernama