• 2025-09-07 02:47 PM

TAWAU: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) peringkat negeri Sabah sempena program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Kampung Sungai Imam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan PRIME merupakan sistem komunikasi bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk satelit, rangkaian selular, radio mudah alih, Wi-fi dan sokongan dron.

Sistem ini berupaya menjalankan operasi menyelamat semasa bencana bersama agensi terlibat dengan lebih pantas dan berkesan.

Dua unit PRIME telah ditempatkan di Semenanjung Malaysia dan Sabah setakat ini, manakala unit ketiga untuk Sarawak dijangka siap pada Oktober 2025.

Program Hari Bersama Komuniti turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serentak di 1,099 NADI seluruh negara dengan pelbagai aktiviti menarik.

Aktiviti tersebut termasuk perkhidmatan pintar, Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta pameran oleh usahawan NADI.

Turut diadakan penyampaian sumbangan program Didik Kasih Peranti MADANI kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Penyampaian surat lantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Parlimen Kalabakan, Tawau dan Lahad Datu juga dilakukan sempena program tersebut.

Fahmi turut meninjau kualiti liputan komunikasi di menara Jalinan Digital Negara Fasa 1 di Kampung Kuala Merotai yang mula beroperasi pada 27 September 2024.

Menara ini menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network dengan perkongsian perkhidmatan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile, serta diuruskan oleh syarikat Redtone.

Kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G tersebut memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk setempat. – Bernama