KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan bahawa usaha memperkukuh nilai integriti tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu disemai menerusi pendidikan bagi mewujudkan budaya integriti yang kukuh dalam masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Menembak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan beberapa pegawai kanan lain.
Shamsul Azri menekankan bahawa pembudayaan integriti memerlukan komitmen berterusan.
“Pembudayaan integriti bukanlah inisiatif sekali jalan tetapi memerlukan usaha dan komitmen yang konsisten secara berterusan,“ katanya.
Beliau turut menyentuh kepentingan keseimbangan antara kerja dan sukan bagi mengekalkan kesiapsiagaan mental dan fizikal.
Aktiviti seperti menembak bukan sahaja meningkatkan kemahiran pertahanan diri tetapi juga menyumbang kepada kesihatan menyeluruh.
Sementara itu, Azam Baki menyatakan sokongan KSN sebagai ketua perkhidmatan awam amat penting dalam merealisasikan agenda antirasuah.
“SPRM sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan, terutamanya dalam mengadakan kursus bagi meningkatkan integriti penjawat awam,“ jelasnya.