KUALA LUMPUR: Perkembangan baharu mengenai Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka diumumkan semasa kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 pada 14 Jun depan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata MMM diwujudkan dengan misi jelas, iaitu mempertahankan kebebasan media, memastikan laporan yang adil dan bertanggungjawab, serta menjadi saluran untuk orang ramai menyuarakan aduan terhadap media secara berhemah.
“Dalam kita membina ekosistem ini, satu lagi pencapaian penting telah direkodkan tahun ini apabila Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Februari.
“Setelah lebih 50 tahun penubuhannya dibincangkan, akhirnya negara kita berjaya mewujudkan Majlis Media Malaysia, sebuah badan kawal selia kendiri yang menghimpunkan semua jenis media yang merangkumi media cetak, penyiaran dan digital,” katanya berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, serta pengurusan tertinggi Bernama.
Fahmi turut melahirkan keyakinan bahawa dengan dengan penubuhan Majlis Media Malaysia dan inisiatif lain, kerajaan sedang meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan media Malaysia.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Mengimbangi AI dan Etika”, sambutan HAWANA 2025 akan berlangsung di WTC KL pada 13 hingga 15 Jun, dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media daripada negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional dan pakar industri, sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.
Sementara itu Fahmi berkata pada 14 Mei 2025, Akta BERNAMA (Pindaan) 2024 telah diwartakan dengan merangkumi entiti yang menyebarkan berita melalui pelbagai platform seperti surat khabar, penerbitan, radio, televisyen, serta platform komunikasi massa lain termasuk media elektronik dan digital.
“Pindaan ini juga bertujuan memastikan struktur dan fungsi Bernama sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, serta memenuhi keperluan industri media yang semakin kompleks,” katanya.
Pada majlis hari ini, Fahmi turut merasmikan MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio, menjadikan Bernama agensi media pertama di Malaysia menggunakan kenderaan rekreasi atau motorhome dilengkapi kemudahan studio siaran bergerak, yang boleh digunakan secara dinamik untuk menyalurkan berita dengan pantas.
“Tahniah dan syabas kepada Bernama yang sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya dan terus unggul menjadi sumber berita diyakini.
“Saya percaya kemudahan BERNAMA Mobile Studio ini mampu memperkukuh operasi liputan luar dan penghasilan berita secara lebih fleksibel,” katanya.