KANGAR: Sejumlah 1.5 juta pengunjung datang ke Perlis melalui setiap pintu sempadan masuk ke negeri itu setakat Mei lepas, yang direkodkan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis yang menanggung portfolio Kemajuan Pelancongan Wan Zikri Afthar Ishak berkata kerajaan negeri yakin dengan lebih banyak penganjuran acara pelancongan berskala besar seperti Pesta Angin Timur, ia mampu menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi negeri itu setiap tahun.

“Hal ini jelas terbukti bahawa penganjuran acara sebegini telah menunjukkan trend peningkatan pengunjung iaitu sebanyak 376,269 orang telah direkodkan datang pada Pesta Angin Timur 2024,” katanya ketika menjawab pertanyaan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Abu Bakar ingin tahu tindakan kerajaan negeri untuk memperkemas sektor pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong ke Perlis memandangkan Tahun Melawat Perlis bagi 2024 telah berlangsung selama enam bulan.

Wan Zikri Afthar berkata pemajuan pembangunan negeri Perlis dalam kerangka pelancongan pada peringkat negeri itu menekankan beberapa aspek antaranya memperkukuh pintu masuk utama dengan memastikan pembangunan fizikal kondusif, selesa dan mampan untuk membentuk elemen sense of welcoming yang berkesan dan memastikan kedatangan pelancong dalam skala lebih besar.

“Selain itu, kerajaan negeri telah memperkenalkan produk ikon pelancongan baharu sebagai pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat, contohnya produk kraf tangan tempatan, makanan tradisi negeri, alunan muzik budaya tempatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor pelancongan dengan membuat penambahbaikan dan mengatasi kelemahan yang ada serta memberikan fokus kepada elemen baharu yang menarik, selain menaik taraf pusat pelancongan sedia ada, memperkukuh jaringan pelancongan serta akan terus mempromosikan sektor pelancongan negeri di platform bersesuaian.