KUALA LUMPUR: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.1 peratus serta prestasi positif Bursa Malaysia pada tahun lepas telah memberikan faedah kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata faedah itu termasuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada 120,000 orang, membolehkan kerajaan menambah sistem persaraan gaji serta Sumbangan Tunai Rahmah.
Menurut Perdana Menteri, keyakinan pelabur juga mendorong peningkatan indeks komposit FBM KLCI sebanyak 12.9 peratus dengan mencapai 1,642 mata pada 2024 iaitu paras tertinggi sejak 2020.
“Tahun 2024, alhamdulillah 5.1 peratus (KDNK) (merupakan) antara yang tertinggi di rantau ini.
“Prestasi (bursa) inilah yang menyebabkan (dividen) Amanah Saham Bumiputera (ASB) kita tertinggi dalam lima tahun (dan) (dividen) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 6.3 peratus, yang tertinggi sejak 2017,“ kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu mengenai nilai dan kadar pertumbuhan KDNK sebenar dan nominal bagi Malaysia untuk 2022, 2023 dan 2024.
ASB baru-baru ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun manakala KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, konvensional dan syariah -- tertinggi sejak 2017.
“Dari segi pencapaian makro ekonomi pada 2024, kita boleh berasa lega sedikit. Pertama, pertumbuhan. Kedua, inflasi yang rendah pada 1.8 peratus. Ketiga, pembentukan modal tetap kasar (GFCF) yang meningkat 12 peratus, iaitu pertumbuhan pelaburan meningkat tinggi sebanyak 12 peratus,” kata Anwar.