MIRI: Seorang pesara syarikat swasta berusia 60-an menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang tidak wujud, mengakibatkan kerugian sebanyak RM200,000.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, memaklumkan bahawa kejadian bermula pada Mei lalu apabila mangsa terpengaruh dengan iklan pelaburan di Facebook.
Mangsa kemudian mengklik pautan yang membawanya ke sebuah kumpulan WhatsApp bernama ‘A Gathering of Talents F’. Dalam tempoh beberapa minggu, mangsa melakukan lima transaksi ke dua akaun bank berbeza seperti yang diarahkan oleh suspek.
“Mangsa baru sedar ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan,” kata Mohd Farhan dalam kenyataan media.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan. - Bernama