• 2025-07-08 06:57 PM

KUCHING: Seorang pesara lelaki dari daerah Padawan mengalami kerugian hampir RM500,000 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian palsu.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, mangsa yang berusia 70-an terperangkap dalam penipuan ini selepas melihat iklan pelaburan percuma oleh Himin International Finance Academy (HIFA) pada Mac lalu.

Mangsa kemudian mengisi maklumat peribadi pada pautan yang diberikan dan dihubungi seorang lelaki tidak dikenali.

Dia dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diminta memuat turun aplikasi pelaburan palsu bernama ‘PHCview’.

“Mangsa melakukan beberapa transaksi berperingkat ke akaun bank suspek, berjumlah RM500,000. Dia baru sedar ditipu selepas membaca laporan akhbar tentang modus operandi sindiket ini,” kata Mancha.

Sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan. – Bernama