KUALA SELANGOR: Setiap kali tiba pesta Ponggal, periuk tanah liat menjadi pilihan utama masyarakat Tamil untuk menyediakan hidangan istimewa bersempena dengan perayaan ini, bagi memelihara tradisi sejak turun-temurun.

Justeru, tidak menghairankan jika permintaan terhadap periuk tanah liat melonjak berkali ganda menjelang pesta itu. Namun, bagaimana periuk ini dihasilkan dan kenapa menjadi pilihan?

Penulis berkesempatan meninjau bengkel pembuatan periuk tanah KS Pottery di sini dan melihat proses pembuatannya selain diberi peluang membuat sendiri periuk berkenaan.

Menurut pemiliknya P. Arumugam, 57, beliau tidak menang tangan bagi memenuhi tempahan kira-kira 60,000 buah periuk tanah untuk sambutan Ponggal yang akan dirai esok.

“Kami mula menghasilkan periuk tanah ini sejak awal 2024. Sekurang-kurangnya 300 periuk dapat dihasilkan sehari bagi memenuhi permintaan,” katanya, menambah pada tahun lalu beliau menghasilkan kira-kira 40,000 buah periuk.

Memegang tanah liat buat pertama kali, teksturnya yang lembap dan sejuk memberikan pengalaman unik. Namun, cabaran sebenar terletak pada tekanan jari agar periuk yang dibentuk tidak senget.

Walaupun pada awalnya kekok, irama gerakan tangan bersama roda putar akhirnya mula dikuasai. Pengalaman ini membuka mata betapa rumit dan telitinya proses menghasilkan periuk tanah liat, sesuatu yang kelihatan mudah di mata orang biasa.

KS Pottery merupakan perniagaan keluarga berusia lebih 100 tahun yang kini diterajui generasi ketiga, Arumugam.

Anak lelaki beliau, Ananth, 31, merupakan generasi keempat yang meneruskan legasi ini. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa daripada sebuah universiti swasta di Shah Alam, Selangor, Ananth tidak kekok membentuk periuk tanah kerana telah mempelajari kemahiran tersebut sejak berusia 11 tahun.

“Walaupun ramai menganggap pekerjaan ini kotor, pembuatan periuk tanah memberikan pendapatan lumayan. Pada masa sama, saya mahu meneruskan legasi keluarga,” katanya.

Ananth berkata periuk tanah menjadi pilihan utama untuk memasak nasi manis semasa Ponggal kerana wadah itu memanaskan masakan secara sekata, menghasilkan aroma dan rasa lebih autentik berbanding periuk moden.

Selain periuk tanah, KS Pottery turut menghasilkan produk seperti buyung laksa, periuk kukus, bekas dupa dan pelita tanah liat yang dijual pada harga 20 sen hingga RM10,000.

Menurut lelaki itu, periuk tanah tidak hanya digunakan oleh masyarakat India tetapi turut dibeli masyarakat Melayu dan Cina dengan kegunaan tersendiri.

“Saya berbangga melihat periuk tanah masih digunakan bagi mengekalkan tradisi perayaan ini walaupun terdapat pilihan periuk moden seperti keluli dan aluminium,” katanya.

Pesta Ponggal yang disambut pada hari pertama bulan Thai dalam kalendar Tamil, adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Dewa Matahari (Surya Bhagavan) atas hasil tuaian.

Perayaan ini berlangsung selama tiga hari bermula dengan Thai Pongal yang memberi tumpuan kepada penyediaan nasi manis di dalam periuk tanah. Hari kedua Mattu Pongal meraikan haiwan seperti lembu, manakala hari ketiga Kanni Pongal adalah untuk golongan anak dara yang berdoa agar mendapat pasangan yang baik.

Tradisi penggunaan periuk tanah ini bukan sekadar warisan tetapi simbol kesyukuran dan semangat komuniti yang terus dipertahankan oleh masyarakat Tamil.