SEPANG: Seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran komen yang jelik di laman media sosial Facebook pada Februari lalu.
Mohammad Faisal Mohd Yusof, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. Menurut pertuduhan, beliau secara sedar membuat hantaran dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan akaun Facebook ‘Mohd Faisal Yusop’.
Kes itu dilaporkan berlaku pada 12.40 pagi, 9 Februari lalu dan disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya MCMC, Fadhli Ab Wahab, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon pengurangan jaminan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung tiga anak serta ibu bapa.
Hakim Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM7,000 dan menetapkan 8 Ogos untuk sebutan semula kes. Bagaimanapun, Mohammad Faisal gagal membayar wang jaminan tersebut.