• 2025-09-18 08:36 PM

KENINGAU: Seorang petugas Sabah Electricity Sdn Bhd yang hilang dibawa arus banjir di Sungai Nuntunan, Apin-Apin ditemui lemas pada petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz mengesahkan mayat lelaki berusia 35 tahun itu ditemukan Team Galen Star di kawasan Sungai Kampung Liau Laut.

Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi mencari dan menyelamat hari ini memfokuskan kawasan sekitar Kampung Linsudan selepas penemuan kasut mangsa di sungai berkenaan.

Lokasi penemuan mangsa terletak 21 kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

Team Galen Star merupakan pasukan bantuan JBPM Sabah yang khusus dalam operasi mencari dan menyelamat di air.

Tiga petugas syarikat itu dibawa arus banjir ketika dalam perjalanan ke Kampung Nuntunan Apin-Apin untuk operasi pemulihan bekalan elektrik.

Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dihanyutkan arus. – Bernama