• 2025-09-11 10:07 AM

IPOH: Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta berjaya menggagalkan cubaan menyeleweng 85,580 kilogram minyak sawit mentah bernilai RM1.1 juta dalam Op Taring Palma di daerah Kerian.

Empat lelaki tempatan berusia 26 hingga 44 tahun turut ditahan dalam operasi yang dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wilayah Utara.

Pasukan operasi mengesan sebuah lori membawa muatan mencurigakan dan mengekori sehingga Hentian Rehat dan Rawat Bukit Merah arah utara.

Proses pemindahan minyak sawit mentah dilakukan secara haram dari dua lori tangki ke sebuah lori bonded.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 15 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu di dalam lori bonded.

Beberapa peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak sawit mentah tersebut turut dirampas.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mengeluarkan satu saman terhadap suspek atas kesalahan trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia Wilayah Utara bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005. – Bernama