• 2025-07-17 08:53 PM

BATU GAJAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,221.3 tan aluminium bernilai hampir RM10 juta dalam operasi serbuan di sebuah kilang pemprosesan logam haram di Kawasan Perindustrian Pengkalan 4, Pusing.

Timbalan Komander Briged Utara PGA ACP Shamsul Baharin Aman berkata operasi itu dilakukan pada jam 7.30 malam dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah.

“Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mengaku sebagai pengurus kilang telah ditahan untuk siasatan lanjut. Selain aluminium, kami turut merampas pelbagai mesin dan peralatan pemprosesan termasuk sebuah lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11.81 juta,“ katanya.

Menurut siasatan, pengusaha kilang telah menjalankan aktiviti menyimpan, memproses, dan mengeluarkan logam sejak 2023 dengan bantuan 10 pekerja. Produk siap kemudian dieksport ke luar negara melalui ejen yang dilantik, dengan anggaran keuntungan bulanan sebanyak RM20,000.

Pengarah JAS Perak Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata bahan aluminium yang dirampas merupakan bahan buangan berjadual di bawah kod SW 422, yang mengandungi campuran logam dan pelarut kimia.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekenhend 1946, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, serta Undang-Undang Kecil, Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017,“ jelasnya. - Bernama