• 2025-07-21 07:38 PM

RANTAU PANJANG: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 22,000 batang rokok seludup dan enam ekor burung daripada spesies dilindungi dalam satu operasi di Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang, semalam.

Serbuan itu dilaksanakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan sekitar pukul 12 tengah hari.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata operasi itu dijalankan berikutan risikan dan pemantauan berterusan.

“Pemeriksaan di premis menemui rokok putih disembunyikan dalam tandas, manakala lima ekor burung Murai Batu dan seekor burung Dendang Selayang ditemui di luar premis,“ katanya.

Burung-burung tersebut dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Jumlah nilai rampasan dianggarkan mencecah RM56,000. Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang menjaga premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Jabatan Perhilitan Kelantan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967 serta Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. - Bernama