• 2025-07-27 09:29 AM

TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan dua warga Thailand dan merampas sepucuk pistol bersama 35 butir peluru dalam operasi di Kampung Pauh Seratus, Pengkalan Kubor, semalam. Serbuan itu dilakukan pada jam 7.45 pagi oleh Strike Force Batalion 7 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tumpat.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pasukan memecah masuk rumah yang berkunci dan menemui dua suspek, seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun. “Pemeriksaan menemui pistol jenis Revolver .38 dengan enam butir peluru, 29 butir peluru tambahan, satu kelongsong peluru, dan tiga telefon bimbit,“ katanya dalam kenyataan.

Ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-dua suspek negatif dadah. Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah - BERNAMA