KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 berjaya mematahkan cubaan menyeludup sembilan ekor lembu dari negara jiran selepas menahan sebuah lori di Kampung Kolam dekat Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata lori dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun itu ditahan sekitar 12 tengah hari oleh anggota yang melakukan rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.

“Lembu tersebut disyaki dibawa masuk secara haram untuk pasaran tempatan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan atau permit sah. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM78,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan suspek serta barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.