GEORGE TOWN: Pengendali baharu Penang FC tetap positif walaupun gagal melepasi ujian pertamanya malam tadi selepas skuad bimbingannya tewas 0-1 kepada Kuching City FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Bandaraya di sini.

Bekas penyerang kebangsaan itu yakin bahawa barisan pemain mampu bangkit pada perlawanan timbal balik pada 30 Nov ini, berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan mereka terutama pada aksi separuh masa kedua.

“Secara keseluruhan, saya puas hati dari segi komitmen, corak permainan, sikap yang tidak mengaku kalah. Pemain bertarung bersungguh-sungguh hingga minit ke-90, cuma nasib tidak menyebelahi kami.

“...jika tidak menjaringkan gol tanpa mencipta peluang, itu saya risau. Tetapi hari ini kita mampu mencipta peluang cuma tidak menjaringkan gol. Saya optimis untuk perlawanan kedua nanti, kita akan ada perubahan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Wan Rohaimi berkata tempoh lebih kurang seminggu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkuatkan pasukan terutama dari segi taktikal pasukan.