• 2025-06-26 02:26 PM

PUTRAJAYA: Projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19 dijangka dapat meringankan beban penjawat awam sekaligus meningkatkan produktiviti kerja, menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata projek itu akan dimulakan dengan pembinaan 3,000 unit kuarters dalam fasa pertama, sebahagian daripada sasaran keseluruhan 10,000 unit. Ini bertujuan mengurangkan kekurangan kira-kira 12,000 unit kuarters yang sedang ditunggu penjawat awam.

“Ini adalah satu projek yang amat baik untuk penjawat awam. Saya selaku ketua kepada penjawat awam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana bersetuju membina kuarters kakitangan awam,” katanya.

Shamsul Azri turut menjelaskan bahawa reka bentuk Kota MADANI menggabungkan konsep ‘sekolah menegak’ dan kemudahan awam berdekatan. Ini dijangka memberikan impak besar dalam penjimatan kos sara hidup serta meningkatkan kualiti hidup penjawat awam.

“Dengan semua kemudahan dalam jarak berjalan kaki dari rumah, penjawat awam dapat berjimat dari segi minyak dan masa. Jiwa pun lebih tenang kerana anak di tingkat bawah, ibu bapa di tingkat atas,“ katanya.

Kota MADANI yang meliputi kawasan seluas 41.28 hektar bakal menempatkan 10,000 unit kuarters berintensiti tinggi, mampu menampung lebih 30,000 penduduk. Pembangunan ini turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital cekap, dan sistem mobiliti hijau.

Dengan kos pembangunan RM4 bilion, projek ini dilaksanakan melalui kerjasama awam-swata oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd menggunakan konsep Bina-Pajak-Senggara-Pindah (BLMT).

Projek ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang bagi menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI, selaras dengan visi Bandar CHASE – bersih, sihat, maju, selamat, dan mesra alam.