LIMA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dianugerahkan pingat tertinggi Peru, “El Sol del Peru” sebagai satu penghormatan tertinggi kepada ketua kerajaan semasa lawatan sulung beliau ke negara Amerika Latin sejak menggalas tanggungjawab berkenaan pada 2022.
‘El Sol del Perú’, adalah penghargaan tertinggi yang diberikan oleh Republik Peru, dengan gred Gran Cross dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar, menteri negara, duta besar asing yang telah diiktiraf atau presiden pihak berkuasa awam.
Duta Besar Malaysia ke Peru Ahmad Irham Ikmal Hisham berkata lawatan rasmi berkenaan, termasuk penyertaan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 pada 14 hingga 16 November dijangka meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan tiba di Peru pada 13 November bagi lawatan rasmi berkenaan.
“Dalam lawatan ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan Peru (Palacio de Gobierno),” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Ahmad Irham berkata antara perkara yang akan dibincangkan adalah status hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan serta meneroka kerjasama baharu dalam industri halal, pembangunan infrastruktur di samping pendidikan dan budaya bagi mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Si dan pegawai kanan kerajaan.
Menurutnya kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala khususnya ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang gastronomi dan halal.