PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada seluruh warga perkhidmatan awam kerana dedikasi mereka melaksanakan tugas meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, barisan menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri serta semua pegawai dan kakitangan kerajaan atas sumbangan mereka.
“Saya ingin mengulangi secara ikhlas penghargaan kami kepada saudara-saudara kerana negara kita tidak akan diiktiraf dan mencatat beberapa kejayaan tanpa sumbangan, pengorbanan dan khidmat cemerlang saudara-saudara.
“Terima kasih banyak,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama INTAN di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan barisan ketua setiausaha kementerian turut menghadiri majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu.
Mengenai MAPPA XX, Anwar berkata himpunan itu mendapat sokongan baik Jemaah Menteri sekali gus menunjukkan wujud hubungan baik pimpinan negara dan perkhidmatan awam.
“Jarang sekali kita lihat ada pertemuan yang didukung sepenuhnya oleh pimpinan negara. Ini menunjukkan ada sinergi yang baik antara pimpinan negara dan penjawat awam,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pelbagai inisiatif baharu bagi memperkukuh perkhidmatan awam termasuk penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pemberian Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) serta peruntukan dana bagi memperkasakan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
Beliau berkata langkah itu selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kecekapan, profesionalisme dan kebajikan penjawat awam di semua peringkat sekali gus memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan - BERNAMA