• 2025-08-15 07:51 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang pengawal keselamatan kerana mencabul kehormatan anak tirinya selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan lelaki berusia 52 tahun itu sebelum ini.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Azman berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana tidak menilai keterangan mangsa secara menyeluruh dan mengabaikan reaksi spontan remaja perempuan itu selepas kejadian termasuk menendang tertuduh, memanggil adik lelaki, ibu saudara serta ibunya selain membuat laporan polis.

“Kami mendapati terdapat bukti kukuh menunjukkan mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangannya adalah konsisten dengan laporan polis,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Beliau juga berkata pembelaan lelaki itu yang mendakwa ke bilik mangsa untuk mengambil pakaian kotor adalah tidak munasabah memandangkan dia menggunakan laluan di bilik air untuk masuk tanpa mengetuk pintu kerana pintu bilik mangsa berkunci.

Azman berkata keterangan mangsa juga bukan rekaan untuk mengenakan tertuduh.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk lelaki itu memulakan hukuman penjara serta-merta.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret mendapati lelaki itu bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian berusia 19 tahun di sebuah rumah di Muallim, Perak pada 9 pagi 9 Julai 2022.

Lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya pada 2024, menyebabkan pihak pendakwaan membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail berhujah bahawa perbuatan lelaki itu memasuki bilik mangsa yang berkunci melalui bilik air yang bersambung dengan dapur semasa remaja tersebut tidur menunjukkan niat jahat.

Peguam Siti Umairah Zainudin pula berhujah Mahkamah Tinggi telah mengambil kira keterangan mangsa yang tidak konsisten dan membuat keputusan tepat membebaskan anak guamnya - BERNAMA