KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji usaha Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berterusan mencari pendekatan baharu bagi meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan rakyat Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata penglibatan KWSP dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain mencerminkan perkongsian awam-swasta yang padu yang juga akan meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatan, kebolehcapaian dan kualiti serta mewujudkan sistem yang boleh menyokong semua rakyat.

“Kita perlu mengiktiraf dan menghargai KWSP yang mencapai prestasi sangat baik dan mereka terus mencari pendekatan baharu untuk meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan,“ kata beliau menerusi ucapan perasmian di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika jangka hayat penduduk semakin meningkat, tumpuan perlu beralih daripada simpanan sekali gus kepada pendapatan persaraan yang berterusan.

“Kita juga mesti mula memikirkan tentang cara membina sistem yang mencerminkan perpaduan yang lebih utuh, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pendapatan seumur hidup yang terhad.

“Dalam wawasan kerajaan, rakyat yang menginjak usia tua tidak seharusnya perlu bimbang tentang kemiskinan, tentang dipinggirkan atau bimbang tidak lagi relevan,” kata beliau.