KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat menggunakan kesempatan sambutan Deepavali hari ini untuk menyemai perpaduan dan menyantuni mereka yang memerlukan.
Beliau turut menekankan kepentingan memperteguh semangat kekitaan yang menjadi asas kekuatan negara.
Anwar berkata sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, semangat saling menghormati perlu sentiasa dipupuk serta diperkukuh.
Beliau menyifatkan Deepavali sebagai Pesta Cahaya yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan serta kebaikan menundukkan kejahatan.
Perdana Menteri turut mendoakan agar perayaan ini diraikan dengan jiwa yang penuh kesyukuran dan semangat kebangkitan pemikiran yang segar.
Anwar mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu dalam hantaran di Facebook hari ini. – Bernama