• 2025-10-19 04:01 PM

JASIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keamanan dan kestabilan negara tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kesiapsiagaan serta peningkatan keupayaan pertahanan.

Beliau berkata sejarah dunia membuktikan banyak negara melakukan kesilapan besar apabila mengabaikan aspek disiplin dan kesiapsiagaan ketenteraan sewaktu berada dalam keadaan aman.

“Bagi kita yang menikmati keamanan ini, jangan sesekali mengetepikan persiapan, kesiapsiagaan, disiplin serta peningkatan keupayaan pertahanan negara,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 di sini.

Anwar berkata rakyat perlu diberikan penjelasan berhubung peruntukan RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2026.

“Kalau beri peruntukan kepada Kementerian Pertahanan... RM21.7 bilion itu (ada yang tanya) kelengkapan mana? Pesawat mana? Kereta kebal di mana? Semua itu boleh diterangkan oleh pegawai yang membantu memberi penjelasan kepada rakyat,“ katanya.

Perdana Menteri turut merakam penghargaan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled yang menekankan aspek disiplin, perolehan dan kebajikan anggota tentera.

Beliau berkata kerajaan turut memberi tumpuan terhadap kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia termasuk program pemulihan dan pembinaan semula perumahan anggota.

Sementara itu, Anwar berkata kekuatan negara bukan sahaja bergantung kepada keupayaan ketenteraan, tetapi juga keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

“Cuba bayangkan dalam tempoh dua tahun, penguat kuasa boleh menyelamatkan hasil negara termasuk melalui rampasan daripada sindiket penipuan dan kegiatan gelap...dua tahun, RM15.5 bilion berjaya diselamatkan,“ katanya.

Anwar turut memuji keberanian agensi penguatkuasaan seperti SPRM, LHDN dan PDRM yang menumpaskan sindiket besar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dana berbilion ringgit yang berjaya diselamatkan itu akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui peruntukan bagi sekolah, klinik, jalan raya serta kenaikan gaji penjawat awam. – Bernama