KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan berkaitan penyasaran subsidi RON95.
Perdana Menteri berkata sebaliknya, hal itu bertujuan menyiasat sumber asal maklumat yang dirujuk terhadap isu terbabit.
“Saya dah minta MCMC, (untuk) mendapat penjelasan. Ada yang salah faham kata MCMC siasat Pagoh. Tidak. Saya nak jelaskan, saya kata sumber (maklumat) ini daripada satu, dua, tiga (sumber). Tolong siasat satu, dua, tiga (sumber) ini, adakah sahih?
“Kalau tidak sahih, maka memang kenyataan itu tidak benar, tetapi biar tunggu keputusan daripada MCMC dahulu,“ kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) sama ada beliau bersedia memohon maaf kepada Muhyiddin tentang isu itu.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.
Pada sidang Dewan Rakyat minggu lepas, Muhyiddin telah meminta Anwar memohon maaf berhubung kenyataan yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing berhubung penyasaran subsidi RON95.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau tidak keberatan untuk memohon maaf kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan, namun masih menunggu pengesahan daripada MCMC berkaitan sumber maklumat terbabit.
“Saya tiada masalah (untuk mohon maaf), cuma (menunggu) pengesahan kerana saya ada tiga sumber, yang disahkan tidak benar (ialah) satu sumber, kalau betul dua sumber (lagi) tidak (benar), saya tiada masalah (mohon maaf).
“ ... jika disahkan MCMC, saya akan jelaskan dan meminta maaf kepada Pagoh, tetapi tunggulah dahulu,” kata Anwar.
Sementara itu, berhubung isu imuniti undang-undang, Perdana Menteri berkata permohonan yang dikemukakan pihaknya ke mahkamah sebelum ini adalah berhubung tafsiran sama ada sesuatu tindakan terhadap Perdana Menteri boleh dianggap sebagai frivolous, vexatious atau penyalahgunaan proses.
“Imuniti dan kekebalan maknanya tidak boleh dipertikai, itu kekebalan. Yang dimohon ialah bertanya keputusan mahkamah, apakah mungkin sesiapa sahaja boleh buat serangan kepada Perdana Menteri, sesiapa sahaja secara frivolous dan vexatious (remeh dan menyusahkan) yang mengganggu bidang kerja kita.
“Itu maksud dalam permohonan dan terserah kepada mahkamah, mahkamah yang membuat keputusan, bukan Perdana Menteri,” katanya.
Anwar menjawab soalan tambahan Chaa Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Perdana Menteri memberikan pencerahan terhadap dakwaan yang mengatakan beliau memohon diberikan kekebalan atau imuniti dari segi undang-undang bagi menghadapi kes sivil dan jenayah di mahkamah - BERNAMA